Zero banjir kilat 2015

JOHOR BAHRU:  Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menetapkan sasaran untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di bandaraya ini menjelang 2015 melalui projek tebatan banjir di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

 

Pengarah Eksekutif IRDA, Harun Johari berkata kerja-kerja menaik taraf pengairan dan pembersihan sungai sedang dilaksanakan terutamanya di kawasan yang sering dilanda banjir kilat.”Pihak kami yakin zero banjir kilat dapat diatasi menjelang 2015.

“Justeru, pihak IRDA mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah ini menerusi projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan,” ujar Harun kepada media di pejabat IRDA, Danga Bay, hari ini,” katanya.

Di bawah RKM-9, sejumlah RM76.52 juta diperuntukkan bagi projek saliran dan RM89.6 juta pula untuk tujuan projek pembersihan sungai di Iskandar Malaysia.

Antara projek tebatan banjir yang sedang giat dilaksanakan adalah di Jalan Ayer Molek berikutan kawasan berkenaan sering dinaiki air apabila hujan berterusan dalam tempoh beberapa jam.

Kerja-kerja itu termasuklah mendalam dan melebarkan parit di Jalan Yahya Awal yang bersambung dengan sungai Molek. Parit sedalam kira-kira 1.5 meter dan 2.2 meter lebar itu akan dibesarkan sehingga 1.8 meter lebar dan 5.8 meter dalam.

Selain itu, sungai Molek juga sudah mempunyai rumah pam yang siap dibina pada November lepas dengan kos RM10.8 juta. Dua pam air yang beroperasi di situ mampu menampung sehingga 5,000 liter air setiap saat.

Mengenai penduduk setinggan di sekitar sungai Tebrau dan sungai Skudai, Harun berkata mereka akan diberikan perhatian melalui Program Penempatan Semula Setinggan.

Beliau sendiri akan turun padang bagi memberikan penjelasan kepada penduduk setinggan terlibat mengenai pelaksanaan rancangan pembangunan di Iskandar Malaysia.

“Setakat ini, sejumlah 3,652 keluarga iaitu melibatkan 2,932 keluarga di sekitar sungai Tebrau dan selebihnya di sungai Skudai akan dipindahkan ke kawasan yang lebih baik dan selesa,” katanya.