TEKUN Nasional Bantu Usahawan Bumiputera

JOHOR BAHRU: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) telah mengeluarkan peruntukan berjumlah kira-kira RM175 juta untuk membiayai 23,491 pinjaman perniagaan oleh usahawan kecil bumiputera di negeri ini sejak tiga tahun lepas.
Fokus pembiayaan lebih tertumpu pada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antaranya dalam bidang perkhidmatan, makanan dan pembuatan secara mikro, iaitu mempunyai pekerja kurang daripada lima orang serta jumlah jualan tahunan kurang RM200,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Datuk Maulizan Bujang berkata, sepanjang 2005 sejumlah RM10.7 juta digunakan untuk membiayai 1,585 pinjaman.

“Bagi 2006, sebanyak 1,542 pinjaman diluluskan dengan nilai RM10.3 juta, manakala untuk tahun lepas jumlah pinjaman meningkat kepada 2,189 dengan jumlah RM20.9 juta.

“Mulai Januari sehingga Oktober lalu, TEKUN Nasional telah meluluskan 18,175 pinjaman berjumlah RM132.9 juta,” katanya ketika menjawab soalan wakil rakyat kawasan Rengit, Ayub Jamil pada persidangan Dewan Negeri hari ini.

Maulizan berkata, pembiayaan mengikut parlimen ini didahului Ledang dengan pinjaman terbanyak iaitu RM3.9 juta (507 pinjaman), diikuti oleh Tebrau RM3.8 juta (536 pinjaman) dan Parit Sulong RM2.4 juta (294 pinjaman).