Sambutan Kemerdekaan Peringkat Negeri di Mersing Meriah

20120717_programraya_lnd_thumbMERSING: Dataran Pulau menjadi tumpuan lebih 30,000 warga Mersing yang tidak mahu ketinggalan merasakan kemeriahan sambutan ambang kemerdekaan peringkat negeri.Meskipun diuji dengan kesesakan lalu lintas sehingga tiga kilometer, semangat rakyat Malaysia menyambut hari yang penuh bermakna ini nyata tidak luntur.

Jika yang tua datang berpimpin, yang kecil pula datang berdukung dan tiada siapa yang kelihatan berpatah balik.Kemunculan Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Paduka Prof Dr Jamilah Ariffin pada jam 10 malam disambut dengan tepukan gemuruh yang menyemarakkan lagi semangat orang ramai meraikan ulangtahun kemerdekaan itu.

Sambutan bermula dengan perarakan 21 kontinjen termasuk 12 buah kereta berhias.

Artis terkenal M. Nasir dan Ziana Zain menyerikan lagi sambutan dengan persembahan bertenaga mereka manakala pelawak Abon dan Ali Mamak membuat orang ramai tidak kering gusi.

Acara malam ini diselingkan dengan persembahan bunga api beraneka warna yang mewarnai ruang udara bandar pesisir Laut China Selatan ini.

Abdul Ghani kemudian mengetuai laungan Merdeka tepat jam 12 tengah malam sebagai menandakan kemuncak sambutan malam itu.

Beliau, Prof Dr Jamilah serta para kenamaan turut menyertai orang ramai menyanyikan beberapa buah lagu patriotik.