Penulis Kreatif Dijemput Sertai Sayembara Sastera Darul Ta’zim

20111129_ramlah-ismailllJOHOR BAHRU: Penulis kreatif di negeri ini dijemput menyertai sayembara Hadiah Sastera Darul Ta`zim yang menawarkan sejumlah RM37,700.
Penyertaan hendaklah karya yang telah diterbitkan dalam majalah, akhbar dan buku atau yang disiarkan di televisyen atau radio sepanjang 2007 dan 2008.Karya juga mestilah dalam Bahasa Melayu selain merupakan hasil penulis sendiri.

Sayembara dwi tahunan ini yang diperkenalkan pada 1996 adalah anjuran Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ).

Sebanyak 19 kategori dipertandingkan, antaranya Puisi Eceran, Rencana Pembangunan Johor, Novel Remaja, Novel Kanak-kanak, Kumpulan Cerpen, Esei dan Kritikan Sastera, Drama Radio serta Drama Pentas dengan hadiah antara RM500 dan RM3,000.

Penghargaan tertinggi sempena sayembara itu ialah anugerah Karyawan Sastera Johor untuk mengiktiraf ketokohan penulis kelahiran negeri ini.

Pada 2007, anugerah itu diberikan kepada pengiat sastera tersohor Shahrom Husain.

Menurut YWJ, penulis yang berminat untuk menghantar karya mereka boleh mendapatkan borang penyertaan di YWJ, Jalan Mariamah, Johor Bahru.

Karya hendaklah sampai di Sekretariat Hadiah Sastera Darul Ta’zim VII 2009 selewat-lewatnya 30 Mac ini.

Antara syarat lain termasuk penulis mestilah rakyat Johor yang berkarya di negeri ini atau di tempat lain.