Pembaca Blog Perlu Bijak Menyaring Maklumat

20111130_serampang-merahJOHOR BAHRU: Pelayar internet diseru agar lebih rasional menyaring maklumat yang terdapat pada blog bagi memastikan apa yang dibaca itu adalah benar.

Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata ia perlu kerana pada masa ini terlalu banyak maklumat dalam blog yang belum pasti kesahihannya.

“Dengan agenda tersendiri, blog memaparkan maklumat yang kadangkala berbeza atau tidak terdapat dalam media arus perdana.

“Namun kesahihannya sukar ditentukan kerana sesiapa sahaja boleh menulis di dalam blog, tanpa mengambilkira kelayakan dalam menyampaikan maklumat yang betul,” katanya pada majlis perasmian Sambutan Hari Telekomunikasi dan Informasi Masyarakat Sedunia peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau juga merasmikan perpusatakaan negeri di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor.

Jelasnya, oleh kerana kemungkinan maklumat dalam blog itu tidak berasas, tidak benar atau berunsur propaganda negatif adalah sangat tinggi, maka kebijaksanaan pembaca dalam menilai kesahihan sumber tersebut adalah amat penting.

“Maklumat negatif atau yang berunsur fitnah wajar ditolak, manakala yang positif perlu dikongsi bersama untuk menjamin kesejahteraan.

“Ia adalah tanggungjawab bersama untuk memilih maklumat yang tepat dan sahih,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawan dan Koperasi dan Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Ali Hassan.