Peluang IKS Terbuka Luas di Iskandar Malaysia

20111129_pwtcJOHOR BAHRU: Pembangunan Iskandar Malaysia secara tidak langsung akan memberi banyak peluang untuk dimanfaatkan sektor Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) di Johor.

Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman berkata, kemajuan ekonomi hasil daripada pelaburan berterusan di Iskandar Malaysia sama ada dari dalam dan luar negara, memberi tempat kepada sektor itu untuk berkembang.

“Sektor ini terbukti mempunyai kekuatan untuk terus wujud kerana ia tumbuh dan berkembang daripada limpahan industri yang besar serta berdasarkan permintaan secara langsung oleh masyarakat.

“Kita cuma perlu kepada langkah-langkah yang menjadikan sektor ini lebih kukuh kerana sudah menjadi lumrah, untuk sampai kepada pasaran luas, perlu kepada peningkatan mutu, kuantiti, pembungkusan, dan penjenamaan yang lebih baik.

“Saya percaya untuk menjadikan sektor ini lebih kukuh lagi, beberapa perkara perlu dipertingkatkan termasuklah peringkat pemprosesan dengan kerjasama agensi-agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ekspo Perusahaan Kecil dan Sederhana Johor 2008, di sini, sabtu lalu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Latiff Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Dato’ Maulizan Bujang.