Peluang Bertemu Angkasawan

JOHOR BAHRU: Orang ramai berpeluang menimba pengalaman dengan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor melalui Program Jelajah Angkasawan @ Johor di 11 tempat di negeri ini, dari 19 hingga 24 Januari depan.
Program anjuran Kerajaan Negeri Johor melalui Unit Sains Teknologi dan ICT (USTICT) akan membawa Angkasawan Negara ke Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat, Muar, Ledang, Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Pasir Gudang dan Kulaijaya untuk menceritakan pengalamannya kepada orang ramai.Menurut kenyataan USTICT Johor, program bermula dengan majlis perasmian oleh Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman di Dewan Pusat Islam Iskandar, Isnin ini, diikuti jelajah selama enam hari di setiap daerah. 

Oleh itu, orang ramai dipelawa menghadiri program berkenaan yang dijadualkan di Dewan Jubli Intan Pontian pada 20 Jan mulai jam 10 pagi hingga 12 tengahari diikuti di Dewan Jubli Intan Batu Pahat 3 hingga 5 petang.

Program seterusnya ialah di Dewan Jubli Intan Muar (21 Jan, 10 pagi-12 tengahari), Dewan Sultan Ibrahim, Ledang (21 Jan, 3 hingga 5 petang), Dewan Jubli Intan Segamat (22 Jan, 9.30 hingga 11.30  pagi), Dewan Tunku Ibrahim, Kluang (22 Jan, 3 hingga 5 petang), Dewan Jubli Intan Mersing (23 Jan, 9 hingga 11 pagi), Dewan Jubli Intan Kota Tinggi (23 Jan, 3 hingga 5 petang), Dewan Serbaguna Johor Jaya (24 Jan, 10 pagi hingga 12 tengahari) dan Dewan Raya Bandar Putra, Kulaijaya (24 Jan, 3 hingga 5 petang).

Setiap program berkenaan akan disertai dengan pertunjukkan sains, manakala Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan menceritakan pengalamannya dan memberi peluang kepada orang ramai untuk bertanya lanjut dalam sesi soal jawab.