Merungkai Misteri Bukit Seluyut

Harimau Berkaki Tiga

20090911_sisipan_bhKita semua tahu bahawa harimau adalah haiwan berkaki empat. Tetapi di puncak Bukit Seluyut, sebuah tempat yang terletak 10km dari Kota Seluyut, Kota Tinggi, Johor, penduduk di situ mendakwa ada seekor harimau berkaki tiga yang pernah berkeliaran di kawasan berkenaan.

Sebaik saja kami diberitahu mengenai cerita itu, perasaan ingin tahu membuak-buak untuk mengetahui kisah disebaliknya. Untuk sampai ke Bukit Seluyut yang tingginya kira-kira 204 kaki, kami terpaksa melalui jalan tanah merah yang di kelilingi kebun kelapa sawit. Mujurlah kami ditemani ketua kampung Kota Seluyut, Encik Abd. Razak Ibrahim.

Abd. Razak Ibrahim
Menurut ketua kampung berusia 46 tahun yang juga bekas anggota tentera itu, misteri tapak Pak Belang berkaki tiga bukanlah asing dikalangan nelayan di Sungai Johor dan penduduk kampung sekitar. Ramai nelayan dikatakan pernah melihat tapak kaki misteri itu.

Yang anehnya, lopak air pada tapak kaki itu dikatakan tidak pernah kering dan kotor sedangkan keadaan lopak-lopak air lain di sekitarnya tidak berkeadaan begitu. Encik Abdul Razak memberitahu, kesan tapak itu masih kekal hingga ke hari ini.

Lelaki Bertengkolok di Puncak Bukit

Foto oleh Amirull Salihing
Berkain kuning…makam Sultan Muzaffar Shah yang bersemadi di puncak Bukit Seluyut. [Foto oleh Amirull Salihing]
Hujan lebat sepanjang perjalanan membuatkan kami berhati-hati ketika melalui kawasan berbukit. Bulu roma tiba-tiba meremang apabila Encik Abd Razak beralih kepada cerita mengenai kelibat lelaki misteri yang sering kelihatan di puncak Bukit Seluyut di mana dahulunya terletak Istana Sultan Muzaffar Shah, iaitu Sultan Johor Ketiga. Di situ jugalah terdapat makam tempat bersemadi Sultan Muzaffar Shah.

Menurutnya, lelaki misteri itu sering meminta bantuan nelayan yang datang memancing di Sungai Johor, supaya membawanya ke puncak Bukit Seluyut. Anehnya, setibanya di sana, lelaki itu tiba-tiba menghilangkan diri. Tetapi kelibatnya dapat dilihat beberapa meter dari tempat ia menuruni bukit, lengkap berpakaian istiadat dan memakai tengkolok.

Penduduk di situ percaya bahawa kelibat lelaki misteri itu adalah bayangan Sultan Muzaffar Shah yang pernah memerintah Johor dari tahun 1564-1570. Cerita misteri ini sering menjadi bualan penduduk kampung. Namun, siapakah lelaki itu? Dan apakah kaitan di antara lelaki misteri tadi dan lelaki yang dilihat bertengkolok itu? Yang pasti, anda tidak akan mendapat jawapannya. Ia akan terus kekal sebagai suatu misteri.