Kerajaan Negeri Pelawa Penulis Rantau Sertai Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor

20111201_vespaJOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengambil pendekatan serius terhadap penulisan sejarah negeri dengan mempelawa penulis rantau ini meliputi Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Brunei menyertai Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor III 2009.
Dengan penyertaan penulis luar, sayembara dwi tahunan yang sebelum ini hanya terbuka kepada penulis tempatan sejak dimulakan pada 2005 itu diharap dapat menghasilkan karya lebih bermutu daripada pelbagai perspektif.Menurut sumber pihak penganjur, penulisan novel sejarah hendaklah berlatarbelakangkan peristiwa-peristiwa Johor dari 1528 sehingga kini termasuk zaman kerajaan Johor-Riau seperti tokoh sejarah era Johor lama atau moden, zaman pemerintahan British atau mengenai penentangan orang Melayu terhadap gagasan Malayan Union.Sumber turut menyatakan, peserta boleh menghantar tidak lebih dua manuskrip dengan menggunakan borang penyertaaan berasingan, setiap satu daripadanya dalam bentuk cakera padat.

Kata sumber itu lagi, manuskrip yang dihantar mestilah asli, bukan terjemahan atau saduran daripada karya lain dan belum pernah diterbitkan.

Menurut sumber berkenaan, sayembara yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 bertujuan meningkatkan tahap kesedaran sejarah Johor di kalangan masyarakat selain menggalakkan penulis mengetengahkan serta mengolahnya dalam bentuk penceritaan yang menarik.

Sejak sayembara berkenaan dilancarkan, belum ada karya yang dianugerahkan tempat pertama.

Pada sayembara 2005, Faisal Tehrani memenangi tempat ketiga melalui karya “Surat-Surat Perempuan Johor” manakala pada 2007, Mohd Kasim Mahmud memenangi tempat kedua dengan karya “Badai Hujung Tanah”.

Mereka yang berminat menyertainya boleh mendapatkan borang penyertaan serta keterangan lanjut daripada  Yayasan Warisan Johor. Tarikh akhir penyertaan pada 31 Disember tahun ini.