IRDA Mohon Peruntukan Lebih Besar

20111129_faridah-mustafaJOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) akan memohon peruntukan yang lebih besar untuk tujuan pembangunan infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

IRDA sudahpun mengemukakan cadangan awal projek-projek pembangunan untuk RMK-10 termasuk projek sambungan kerja-kerja menaik taraf jalan raya, pembersihan sungai dan pembinaan perumahan awam Iskandar Malaysia.

Pengarah Eksekutif IRDA, Harun Johari berkata, bagaimanapun cadangan RMK-10 tidak hanya tertumpu kepada pembangunan berkenaan malah turut menyenaraikan kegiatan untuk hab pendidikan, kewangan dan perlancongan.

Menurutnya, IRDA mengemukakan permohonan yang lebih besar berikutan keyakinan dapat menyempurnakan amanah melaksanakan pembangunan RMK-9 yang berjumlah RM2.83 bilion.

“Projek RMK-9 sedang dilaksanakan mengikut jadual dan adalah penting IRDA mendapat peruntukan yang lebih dalam RMK-10 bagi memastikan pembangunan Iskandar Malaysia memenuhi keperluan pelabur dan rakyat.

“Saya yakin dengan penyediaan kemudahan infrastuktur bertaraf antarabangsa Iskandar Malaysia mampu menarik minat para pelabur untuk sama-sama memakmurkan wilayah ekonomi ini,” ujar Harun kepada media ketika taklimat bulanan  di pejabat IRDA, Danga Bay, hari ini.

Beliau menjelaskan pelaksanaan projek di bawah RMK-9 yang dijangka siap pada hujung 2011 adalah mengikut piawaian antarabangsa dengan mementingkan pemeliharaan alam sekitar dan penekanan tahap keselamatan di Iskandar Malaysia.

Menurutnya, antara langkah proaktif yang dilaksanakan dari segi keselamatan adalah percubaan pergerakan aliran trafik di wilayah Iskandar Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Johor Bahru yang diadakan kelmarin.

“Jalan yang terlibat adalah Jalan Lingkaran Dalam, Jalan Kolam Air, Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek dan Jalan Skudai,” katanya.

Usaha itu bertujuan memantau pengurusan trafik dengan meminimumkan gangguan kepada masyarakat dan kesannya terhadap pengguna jalan raya.