Empat Aktivis Terima Anugerah Penggiat Perpaduan Negeri 2008

JOHOR BAHRU: Empat aktivis masyarakat menerima anugerah Penggiat Perpaduan Negeri Johor sempena Majlis Perhimpunan Integrasi dan sambutan Bulan Perpaduan peringkat negeri. 
Mereka ialah Abu Samah Abd. Jalil, Panjaseram A/L Arunasalam, Trishen Kaur dan Yau Pau Bing.

Abu Samah, 56, yang sudah aktif dalam aktiviti perpaduan selama 12 tahun berkata dia melihat perpaduan di negara ini masih di dalam keadaan baik walaupun agak terjejas selepas pilihanraya lalu. 

Bagi Panjaseram, 66, penglibatan selama 30 tahun dalam aktiviti perpaduan memberikannya kepuasan kerana berpeluang berkongsi pengalaman terutamanya dalam bidang sukan.

Trishen Kaur, 41, dari Pontian, yang kini membimbing pelajar pelbagai kaum melalui tuisyen bahasa Inggeris, berkata kelas bimbingan seperti itu juga boleh membantu memupuk perpaduan.

Yau, Pengerusi KRT Taman Jaya, Muar, berpendapat semangat perpaduan perlu diterapkan sejak kanak-kanak lagi bagi memastikan keharmonian antara kaum dapat diteruskan di peringkat dewasa.