DAP Politikkan Ucapan Penangguhan Dewan Negeri

JOHOR BAHRU: Wakil rakyat DAP dari Skudai, Dr Boo Cheng Hau menunjukkan kedegilannya enggan mematuhi peraturan sehingga Speaker terpaksa menghentikan ucapan penangguhannya di Dewan Negeri Johor yang bersidang sehari hari ini.

Datuk Mohd Ali Hassan
Sekalipun diingatkan beberapa kali oleh Datuk Mohd Ali Hassan agar Dr Boo berucap menggunakan teks yang telah dihantar lebih awal kepada dewan, ahli pembangkang terus berucap menyentuh perkara lain, sebaliknya mengatakan perbuatan Speaker itu tidak demokratik.

Mohd Ali menjelaskan mengikut Fasal 119 (1) Peraturan Tetap Dewan, ucapan penangguhan perlu mengikut teks yang diserahkan lebih awal bagi membolehkan Kerajaan Negeri menjawab segala persoalan yang dibangkitkan.

“Ahli Yang Berhormat, mengapa tidak menghormati dewan. Saya benarkan Yang Berhormat berucap, tapi patuhilah peraturan dewan. Yang Berhormat kan orang terpelajar, mengapa buat macam ini,” katanya.

Dr Boo kedengaran merungut bahawa dewan tidak demokrasi sehingga menyebabkan Speaker menghuraikan panjang lebar mengenai peraturan untuk membuat ucapan penangguhan dan bukan menghalangnya berucap.

Mohd Ali kemudiannya memberi masa dua minit sahaja kepada Dr Boo untuk meneruskan ucapan kerana masa 10 minit yang diperuntukan sudah terbuang begitu sahaja akibat bertikam lidah.

Selepas itu, Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, bangun untuk membuat ulasan dan menjawab beberapa persoalan yang sempat dibangkitkan oleh Dr Boo, sekalipun Speaker memberikannya pilihan untuk berbuat demikian atau tidak.

Selepas menjawab soalan-soalan itu, beliau sempat memberi teguran dengan menyatakan bahawa berdasarkan pengalamannya di Parlimen, ucapan penangguhan hendaklah mengikut ketetapan Speaker dan berharap agar hal itu tidak dipolitikkan.