Badai Hujung Tanah Menangi Hadiah Novel Sejarah Johor

20111201_fadilJOHOR BAHRU: Percubaan kali kedua Mohd Kasim Mahmud dalam  Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor II membuahkan hasil apabila karyanya  memenangi hati para juri.
Novel Badai Hujung Tanah yang mengangkat tokoh sejarah Sultan Muzafar Shah yang menjadi Sultan Johor ketiga mengatasi tujuh karya lain.Kemantapan novel itu yang memperincikan strategi Sultan Muzafar Shah menentang musuh, terutamanya dari Acheh, membolehkan Mohd Kasim memenangi hadiah kedua.

Mohd Kasim membawa pulang wang tunai RM25,000, surat penghargaan dan trofi.

Juri memutuskan tiada pemenang utama setelah mendapati gaya penulisan belum mencapai tahap kehendak penganjur iaitu Yayasan Warisan Johor dan kerajaan Negeri.

Mohd Kasim berkata keputusan itu secara tidak langsung memberi cabaran kepada penulis agar memantapkan gaya penulisan.

“Saya tidak kesal dengan keputusan ini kerana panel yang menilai karya kami adalah di kalangan yang berwibawa.

“Saya turut mempunyai keinginan untuk menyertai sayembara seperti ini kerana banyak lagi kisah-kisah sejarah di persisiran sungai Johor yang boleh diketengahkan dan itu tidak termasuk sejarah moden seperti Dato’ Onn dan sebagainya,” jelas beliau.

Mohd Kasim turut menyatakan bahawa jika garapan novel ini dibuat secara kreatif dan watak tokoh sejarah dapat ditonjolkan, beliau percaya, bahan bacaan seperti ini mampu menarik minat pembaca berbanding bacaan sejarah berdasarkan fakta semata-mata.